HAK WANITA DALAM HARTA PUSAKA

Jahiliyah yang tidak memandang wanita


Pada zaman Jahiliyah yang lampau, wanita tidak diiktiraf sebagai waris kepada sesuatu kematian yang berlaku dalam keluarganya. Samaada kematian ibu dan ayahnya mahupun kematian suaminya, apatah lagi kematian anak-anaknya. Amalan tidak mengiktiraf wanita ini sebagai waris telah menyebabkan wanita tidak menerima sebarang harta pusaka dari harta-harta pusaka yang ditinggalkan oleh ahli keluarganya yang meninggal dunia.

Wanita hanya menangisi pemergian orang yang tersayang namun tidak diendahkan tentang pampasan akibat kehilangan orang yang tersayang itu dari sudut perwarisan harta. Begitu rendahnya taraf wanita apabila tidak dipandang tentang haknya di dalam harta peninggalan ahli keluarganya walaupun ahli keluarganya syahid di medan perang pada zaman Jahiliyah yang lampau.


Hal ini digambarkan di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Al-Tarmidzi dan Ibnu Majah:
Daripada Jabir R.A, "Telah datang isteri Sa'ad bin Al-Rabi' kepada Rasulullah S.A.W (dengan membawa 2 orang anak perempuan kecil) sambil mengadu kepada Beliau: Wahai Rasulullah! 2 orang anak perempuan ini adalah anak-anak Sa'ad bin Al-Rabi', dan ayah mereka telah berjuang bersamamu dan gugur syahid dalam pertempuran Uhud. Kini bapa saudara mereka (adik-beradik Sa'ad bin Rabi') telah mengambil semua harta peninggalannya, sehingga mereka berdua tidak mempunyai apa-apa bahagian dan sudah tentu mereka tidak akan dapat berkahwin tanpa harta. Maka Baginda menjawab: Allah akan memutuskan perkara ini. Kemudian turunlah ayat faraid. Sehubungan dengan itu, Baginda mengirimkan utusan dan memberitahu saudara lelaki Sa'ad: berikan kepada kedua-dua anak perempuan Sa'ad 2/3, dan ibu mereka 1/8, dan bakinya adalah untukmu.


Siapakah wanita dari kaca mata faraid?


Allah maha mendengar lagi maha penyayang. Lalu Allah mewahyukan kepada Rasulullah S.A.W agar menyampaikan khabar gembira buat wanita-wanita Islam. Melalui Surah an-Nisaa' Allah memerintahkan harta pusaka dibahagikan bukan sahaja kepada waris lelaki malah juga kepada waris-waris perempuan.


"Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)". (An-Nisaa' 4:7)
Oleh itu, setiap orang lelaki dan setiap wanita mewarisi dari harta pusaka ahli keluarganya yang telah meninggal dunia berdasarkan ketetapan-ketetapan yang telah ditetapkan melalui ayat 11, 12 dan 176 Surah An-Nisaa'.

Wanita-wanita telah disertakan sebagai waris dalam beberapa kategori iaitu Ashabul Furud (waris yang telah ditetapkan bahagiannya di dalam al-Quran) atau Asobah Bil Ghairi (menerima baki harta bersama dengan saudara lelaki) dan Asobah Maal Ghairi (menerima baki harta ketika beserta dengan orang lain). 

Wanita yang mewarisi sebagai Ashabul Furud adalah ibu, nenek, isteri, anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, dan saudara perempuan seibu.

Wanita yang mewarisi secara Asobah Bil Ghairi adalah anak perempuan bersama anak lelaki, cucu perempuan dari anak lelaki bersama cucu lelaki dari anak lelaki, saudara perempuan seibu sebapa bersama saudara lelaki sibu sebapa dan saudara perempuan sebapa bersama saudara lelaki sebapa.

Wanita yang mewarisi secara Asobah Maal Ghairi adalah saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa.

Isteri, ibu dan anak perempuan kepada si mati adalah merupakan wanita dalam kelompok waris utama yang tidak boleh dihalang atau tidak terdinding daripada menerima pusaka oleh sesiapa.

Cucu perempuan dari anak lelaki dan nenek pula merupakan dalam kelompok waris gantian yang mana hanya akan menerima pusaka sekiranya anak perempuan dan ibu tiada.

Saudara perempuan si mati hanyalah wanita dalam kelompok waris sisian iaitu hanya menerima pusaka apabila tiada waris utama dan waris gantian yang menghalangnya.

Wanita menerima 1 bahagian berbanding 2 bahagian lelaki

Anak perempuan yang beserta dengan anak lelaki

"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan..." (An-Nisaa' 4:11)
Menerusi ayat 11 surah an-Nisaa' di atas, Allah memerintahkan agar harta pusaka seorang lelaki  atau perempuan yang telah meninggal dunia, diwarisi oleh kesemua anak lelaki dan perempuan dengan nisbah pembahagian 2 bahagian untuk setiap anak-anak lelaki dan 1 bahagian untuk setiap anak-anak perempuan.

Ayat ini menjurus kepada kematian yang meninggalkan anak-anak lelaki dan perempuan. namun pembahagian ini tidak terpakai jika kematian tersebut hanya meninggalkan anak lelaki sahaja atau anak perempuan sahaja.


Saudara perempuan yang beserta dengan saudara lelaki


Siapa lagi wanita yang akan menerima 1 bahagian pusaka selain anak perempuan yang bersama adik-beradik lelakinya?

"...Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan...".(An-Nisaa' 4:176)
Allah telah menetapkan dalam kematian si mati yang tidak mempunyai anak-anak, saudara lelaki dan saudara perempuannya berhak mewarisi pusaka menyamai bahagian yang sepatutnya diterima jika si mati mempunyai anak lelaki dan perempuan.

Dalil ini menyangkal dakwaan sebahagian masyarakat Islam di Malaysia yang sering beranggapan bahawa saudara perempuan tidak mendapat bahagian pusaka saudaranya yang meninggal dunia tetapi dihabisi oleh saudara lelakinya sahaja. Namun sebenarnya saudara-saudara perempuan berhak mewarisi 1 bahagian pusaka saudara kandungnya yang meninggal dunia tanpa meninggalkan anak-anak.

Wanita menerima 1/2 dan 2/3 dari harta pusaka

"...Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu...". (An-Nisaa' 4:11)

Ayat ke-11 surah an-Nisaa' seterusnya menjelaskan tentang keadaan wanita yang menerima separuh dan dua pertiga dari keseluruhan pusaka si mati.

Wanita yang menerima separuh dari keseluruhan harta pusaka adalah anak perempuan tunggal si mati. Di dalam keadaan si mati meninggalkan seorang anak sahaja dan anak tersebut adalah perempuan, anak tersebut berhak kepada separuh dari harta pusakanya. Setelah itu, lebihannya iaitu separuh lagi baruah dibahagi kepada ahli waris fardu dan asobah yang lain.

Jika anak-anak perempuan si mati melebihi dari seorang, mereka semua akan menerima pusaka sebanyak 2/3 dari keseluruhan pusaka dengan bahagian samarata. Dengan syarat mereka tiada saudara lelaki yang hidup semasa ibu atau ayah mereka meninggal dunia.

Ibu adalah wanita yang menerima pusaka sebanyak 1/3 dan 1/6

"Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam".

Dalam kesedihan akibat kehilangan anak tersayang, Allah tidak menidakkan hak seorang ibu dalam mempusakai harta peninggalan anaknya. Allah memberikan hak sebanyak 1/6 kepada wanita yang bergelar ibu ini apabila kematian anaknya terlebih dahulu daripadanya. Penerimaan 1/6 ini sekiranya anaknya yang mati itu sudah berkahwin dan mempunyai anak. 

Seorang ibu pula menerima 1/3 daripada  pusaka anaknya apabila anaknya meninggal dunia sedang dia dan bapa anaknya sahaja yang masih hidup. Namun jika bapa anaknya sudah tiada, ibu mewarisi 1/6 sahaja manakala yang selebihnya diwarisi oleh saudara-saudaranya.


Isteri adalah wanita yang menerima 1/4 dan 1/8 dari pusaka suaminya

Isteri adalah wanita yang paling berdukacita apabila berlaku kematian ke atas suaminya. Hilang tempatnya berlindung dan hilang tempatnya bergantung nafkah. Pemergian suaminya menyebabkan dia terpaksa menempuh hari-hari mendatang tanpa teman rapat di sisi dan berseorang menjaga, mendidik dan membesarkan anak-anak.

Oleh tu, Allah menetapkan bahagian pusaka kepada isteri-isteri  yang kematian suami sebanyak 1/4 jika si mati meninggal dunia tanpa zuriat manakala 1/8 jika berzuriat.

"Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu".

Bahagian yang diterima ini adalah untuk dirinya memenuhi keperluannya. Bukanlah untuk menafkahi sesiapa walaupun anak-anak yang masih kecil kerana anak-anak telah ditetapkan bahagian yang diwarisinya pula.

Dalam situasi kematian suami yang berpoligami, kesemua isteri-isterinya akan berkongsi dengan bahagian yang samarata atas 1/4 jika suami tidak mempunyai anak manakala 1/8 jika suami mempunyai anak.


Kesimpulan

Wanita mempunyai hak dalam harta pusaka ahli keluarganya yang telah meninggal dunia berdasarkan hubungannya dengan si mati. Wanita menerima pusaka dalam keadaan yang berbeza-beza dan menerima bahagian yang berbeza-beza bergantung kepada situasi. Oleh itu, sebagai umat Islam yang yakin dengan agama Allah, percaya pada kitab Allah tidak seharusnya menafikan hak-hak wanita dalam mempusakai harta pusaka orang yang tersayang.

Ulasan